I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, August 19, 2009

H1N1, itu adalah satu ulang teguran


Tidak kah anda merasakan, H1N1 ini adalah satu lagi ulang teguran?
Ulangan teguran daripada-Nya…

Ada orang cakap dengan saya, dia dah bosan dengar itu ini teguran daripada Allah. Dia kata: Asal ada bencana je, nak kata itu teguran Allah. Asal ada apa-apa je, nak kata itu daripada Allah. Bosan la. Tak ada modal lain ke?

Saya nak ketawa pun ada bila dengar dia kata sebegitu rupa.
Sebenarnya, salah kah kalau kita mengaitkan segala kejadian di muka bumi ini dengan Allah SWT? Sedangkan sudah jelas kepada kita bahawa Allah SWT yang menciptakan segala-galanya. Allah SWT, tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Jadi, H1N1 ini, takkan la datang saja-saja.
Mesti ada hikmahnya.

Takkan kita nak kata, Allah itu zalim kepada manusia? Tak fasal-fasal nak datangkan bencana.
Maka adalah menjadi tugas kita, sebagai manusia, bersangka baik dengan Allah SWT. Allah SWT tidak akan datangkan sesuatu itu dengan sia-sia. Tugas kita adalah menggerakkan sedikit akal kita, berfikir akan ciptaan-ciptaan- Nya. H1N1, satu lagi makhluk Allah yang patut kita tadabbur(teliti) . Kenapa di tengah-tengah kehidupan manusia, Allah datangkan H1N1?

Jawapan sebenarnya, hanya ada pada Allah. Tapi saya sebagai manusia biasa, hanya mampu mengajak diri bermuhasabah. Kalau kita lihat semula ke belakang, Allah SWT telah berulang kali menegur manusia dengan teguran-teguran yang ‘berat’ tetapi ‘halus’.

Kita kembali melihat ke belakang. Allah datangkan HIV semasa dunia tenggelam dalam kes hubungan bebas dan anak luar nikah. HIV datang tanpa ubat. Ramai manusia mati kerananya. Malah, sesiapa yang dijangkiti HIV akan dipulaukan kerana takut terjangkit penyakitnya. Tetapi insan masih lalai. Difikirkannya cara, akhirnya kondom juga diambil sebagai penyelesaiannya.

Hem… Manusia memang sukar hendak berubah.
Kemudian Allah datangkan pula JE. Penyakit daripada khinzir. Saya masih ingat lagi, ketika itu saya berada di tingkatan dua. JE juga ketika itu datang tanpa ubat. Ramai orang meninggal kerananya. Tetapi manusia tetap tidak mengambil peringatan.

Kemudian Allah datangkan pula tsunami. Ini satu teguran yang agak besar juga. Ramai meninggal dunia. Berlaku di Indonesia, tetapi Malaysia juga terkena sama. Sampai ada yang menyatakan bahawa itu adalah kiamat kecil. Namun siapa yang mengambil pengajaran daripadanya? Sebentar sahaja insaf kemudian kembali mengingkari- Nya.

Datang lah pula tidak lama kemudian selsema burung. Ayam-ayam habis mati dibakar untuk mencegah penyakit itu. Ramai juga yang terjangkit, mati dan mati. Namun tidak lama kemudian, perkara itu reda, manusia pun kembali lupa.

Hari ini, datanglah satu lagi sesi muhasabah daripada-Nya. H1N1. Ya… Kali ini lebih dasyat dari yang sebelum-sebelumnya. Kalau HIV hanya banyak kepada yang melakukan seks bebas, kalau JE kepada yang selalu berkomunikasi dengan khinzir, kalau Tsunami hanya di kepulauan indon dan sekitarnya, kalau selsema burung hanya di sekitarnya, tetapi H1N1 melanda seluruh dunia dengan kadar yang sangat tinggi, serta penyebaran yang sangat cepat.
Manusia, sampai bila agaknya kamu hendak lupa?

“Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu, Kami telah binasakan tatkala mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.” (Surah Al-Kahfi ayat 59)

“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan tempikan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.” (Surah Al-Ankabut ayat 40)

Ya. Manusia itulah yang menganiayai dirinya sendiri. Manusia memilih untuk meninggalkan Allah SWT. Maka Allah turunkan peringatan.
Bila datang penyakit sebegini, barulah kita melihat ada orang hendak mengeluarkan doa-doa khusus. Bila datang bala sebegini, kita baru akan lihat orang keluar melaksanakan solat menolak bala, solat hajat dan sebagainya. Manusia memang begitu. Ibarat bila ada orang mati, baru Al-Quran hendak dibuka cari.

Firaun juga begitu sebenarnya. Dia ketika hendak lemas di laut, barulah hendak mengaku bahawa Nabi Musa itu rasul dan Allah itu adalah Tuhan. Tetapi, taubatnya ketika itu sudah tertutup.

Bagaimana kita?
Bagaimana?
Nanti anda tanya saya kenapa Allah ni tak fasal-fasal nak datangkan H1N1? Kemudian kenapa yang tak buat maksiat pun kena?
Jawapan kepada soalan pertama: Saya hendak kamu tengok sendiri keadaan dunia, keadaan negara kamu.

Jawapan kepada soalan kedua: Ketika Allah datangkan tsunami, Allah datangkan kepada semua. Bukan kepada yang bermaksiat sahaja. Hal ini kerana, kalau kita lihat semula, apakah masyarakat bangun mencegah kemungkaran yang ada di dalam kehidupan mereka?

“Telah terjadi pelbagai kerosakan dan kebinasaan di laut dan darat diakibatkan kerana perbuatan tangan manusia itu sendiri.” (Surah al-Rum, ayat 41)
Akhirnya, semua ini adalah kerana manusia meninggalkan arahan-Nya, dan melaksanakan perintah-Nya. Allah sudah ingatkan kita:

“Andai kata penduduk satu negeri itu benar-benar beriman dan bertakwa, maka kami akan bukakan kepada mereka keberkatan kami yang datang dari langit mahupun yang tumbuh dari bumi. Akan tetapi jika mereka mendustakan ayat kami, maka kami akan azab mereka akibat daripada perbuatan mereka sendiri “ (Surah al-A’raf, ayat 96)
Kita yang memilih sebenarnya. Kita pilih untuk ingkar, maka Allah turunkan azab kepada kita. Sebagai peringatan.
Sedangkan kita perlu sedar, Allah itu berkuasa hendak menterbalikkan dunia ini, sebagaimana Dia menterbalikkan bumi Kaum Lut. Itu semua mudah bagiNya.
“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan tidak pula pada diri kalian sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah” (Surah al-Hadid ayat 22)
Sebab itu, ini adalah satu ulang tegur.
Dan hanya orang-orang yang berfikir sahaja yang akan rasa dirinya ditegur.
Kepada yang bermaksiat, ini satu teguran. Kepada yang tidak ingkar, ini satu ujian. Ujian keimanan. Sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah: 155- 156).

Marilah sama-sama kita muhasabah. Sama-sama juga jaga kesihatan. Amalkan langkah-langkah pencegahan.
Saya mendoakan agar Allah selamatkan kita dari bala bencana ini.
Harapnya, Allah SWT selamatkan kita.

Ya Allah, bantulah kami dalam menyedari kesilapan kami, dan bantulah kami dalam memperbaiki diri kami. Sesungguhnya kami adalah hamba-Mu yang lemah, dan sering menzalimi diri sendiri.

(copy: petikan dari ms.langitilahi.com)

No comments: